Background

Sunday 16 September 2012

LOMPAT TINGGI PENGENALAN
Acara Lompat Tinggi adalah salah satu daripada acara olahraga yang diminati dan sentiasa mendapat perhatian ramai. Lompat Tinggi mula diperkenalkan dalam tahun 1887 dan dalam tahun 1896 acara Lompat Tinggi telah diperkenalkan dalam sukan Olimpik. Acara ini menjadi perhatian ramai kerana pelbagai gaya lompatan digunakan oleh para atlit. Dalam acara Lompat Tinggi, seseorang atlit memerlukan kebolehan semula jadi, bagi melaksanakan satu lompatan yang baik hendaklah bergantung kepada diri atlit itu sendiri iaitu dari persediaan fizikal dan mental. Terdapat beberapa gaya dalam acara Lompat Tinggi seperti berikut :- i) Gaya Gunting (Scissors) ii) Gaya Eastern Cut-off iii) Gaya Guling Barat (Western Roll) iv) Gaya Guling Pelana (Straddle) v) Gaya Fosbury Flop Dalam gaya-gaya di atas, gaya guling (straddle) dan gaya fosbury flop telah diperkenalkan bagi mendapatkan lompatan yang tinggi. UKURAN i) Tiang lompat tinggi Tiang lompat tinggi ini hendaklah dijarakkan pada jarak minimum 4 meter atau maksimum 4.04 meter dari bahagian dalam. ii) Palang lompat tinggi Panjang palang lompat tinggi ini hendaklah sesuai dengan jarak kedua-dua tiang yang dipasangkan. Berat maksimum palang ini ialah dua kilogram. Palang ini diletakkan pada tiang menerusi alat sokongan khas. Alat sokongan ini hendaklah berbentuk segiempat rata dan berukuran 4 cm lebar dan 6 cm panjang. iii) Kawasan mendarat Kawasan mendarat dalam acara lompat tinggi ini adalah tilam atau pengalas lembut bergetah dan berbentuk segiempat dengan bersaiz 5 meter panjang, 4 meter lebar dan 1 meter tebal. iv) Pita pengukur Pita pengukur digunakan untuk mengukur ketinggian lompatan yang dilakukan oleh peserta. Pengukuran ketinggian hendaklah dibuat sebelum acara lompatan. Pegawai pertandingan terlebih dahulu akan memulakan acara ini pada suatu ketinggian tertentu mengikut keupayaan para peserta dan ketinggian lompatan akan diukur daripada bahagian tengah palang ke aras tanah. PRINSIP-PRINSIP BIOMEKANIK DALAM ACARA LOMPAT TINGGI Secara amnya terdapat beberapa aspek prinsip mekanik dalam acara-acara sukan termasuk olahraga. Prinsip-prinsip mekanik yang terlibat dalam acara lompat tinggi ini dibincang dengan ringkas :- a) Pergerakan Terdapat dua jenis pergerakan iaitu :- i) Pergerakan Mendatar (Linear Motion) ii) Pergerakan Menegak (Vertical Motion) Dengan ringkas, seseorang atlit perlu meminda pergerakan mendatar kepada pergerakan menegak. A – Pergerakan Mendatar B – Pergerakan Menegak C – Vektor Resultant 1) Lari landas menghasilkan pergerakan mendatar A. 2) Lonjakan dari lari landas di point X menghasilkan pergerakan menegak B. 3) Hasil gabungan pergerakan mendatar dan pergerakan menegak mengakibatkan layangan dalam bentuk parabola C. b) Momentum Halaju dan momentun adalah konsep-konsep penting dalam kemahiran sukan. Momentum adalah hasil darab jisim dan halaju iaitu kuantiti pergerakan yang dikandung oleh sesuatu jasad. Lebih meningkat halaju atau lebih berat jisim, maka momentum jasad itu akan bertambah. Ia juga boleh dipindahkan dari sebahagian badan ke seluruh badan misalnya hayunan atau kilasan kaki bebas dengan kuat pada fasa lonjakan dalam lompat tinggi supaya dapat menghasilkan momentun yang lebih untuk membawa badan pada takat yang lebih tinggi. Pergerakan lengan dan bahu juga menolong melonjakkan badan ke atas. c) Daya Sentrifugal  Daya Sentrifugal  Daya Sentripetal  Daya Ikut Tangan Selain daripada pergerakan mendatar dan menegak terdapat juga daya sentrifugal. Apabila sesuatu jasad melakukan pergerakan dalam bentuk suatu bulatan, pada hakikatnya terdapat satu jenis daya yang bertindak ke arah pusat bulatan itu dan satu lagi daya yang sama wujud dalam arah yang bertentangan. Daya yang bertindak ke luar dikenali sebagai Daya Sentripetal. Kedua-dua daya ini dilaksanakan hanya apabila ada geseran pada bumi di pusat bulatan. Sekiranya terdapat suatu daya sentrifugal sedang bertindak kepada pusat bulatan dan tidak terdapat geseran pada pusat itu, maka daya ini akan dilepaskan pada titik bulatan yang tertentu dan memecut dalam bentuk tangen pada pusat bulatan itu. Untuk mencapai lonjakan yang tinggi, seseorang atlit itu haruslah menggabungkan konsep-konsep pergerakan dengan daya sentrifugal . d) Putaran Pergerakan-pergerakan putaran bertujuan mendapat layangan merentasi palang adalah dua jenis iaitu ‘direct’ dan ‘inderect’. Putaran ‘direct’ dicapai semasa atlit ada kontrak dengan bumi manakala putaran ‘indirect’ semasa atlit tidak mempunyai kontrak dengan bumi. Putaran ‘indirect’ dicapai dengan membawa masuk dengan kuat kaki bebas setelah lonjakan untuk menambah lagi daya sentrifugal. e) Graviti dan Pusat Graviti Satu daripada prinsip yang sangat penting adalah daya graviti bumi yang berkesan pada atlit dan bagaimana atlit itu boleh memindahkan pusat graviti pada badannya supaya memperolehi lompatan yang paling berjaya. Ketinggian yang boleh dicapai dengan jumlah daya yang sama sekiranya pusat graviti ditempatkan rapat kepada bahagian atas palang. Walau bagaimanapun gaya-gaya yang membolehkan penempatan pusat graviti seperti ini juga melibatkan atlit-atlit mendarat dalam posisi yang mencemaskan. Jasad-jasad A dan B yang kedudukannya menegak didapati pusat graviti masing-masing agak jauh di atas palang. Manakala dalam jasad C, terdapat kedudukannya yang leper membolehkan pusat gravity adalah sangat hampir pada palang. FASA – FASA DALAM LOMPATAN TINGGI (GAYA FOSBURY FLOP) Dalam acara Lompat Tinggi (gaya fosbury flop) seseorang atlit akan melalui empat fasa iaitu :- a) Fasa Lari Landas b) Fasa Lonjakan c) Fasa Layangan d) Fasa Mendarat a) Fasa Lari Landas Terdapat dua faktor yang mempengaruhi lari landas yang akan membawa seseorang atlit lompat tinggi pada satu tahap yang paling sesuai untuk melakukan fasa lonjakan seterusnya. Faktor-faktor itu adalah :- i) Kelajuan :- Atlit dikehendaki berlari secepat mungkin tetapi dengan halaju yang terkawal. Ia akan mengambil masa yang lebih lama untuk melintasi palang kerana tinggi palang. ii) Arah :- Atlit hendaklah menuju ke arah palang pada sudut 20 darjah hingga 30 darjah dari satah tegak palang. Dalam gaya flop ini di bahagian akhir lari landas atlit perlu mengubah arahnya pada satu lengkongan. Ini dilakukan untuk mendapat daya sentrifugal yang sangat penting bagi gaya flop. Terdapat tiga gaya lari landas yang sering digunakan dalam gaya flop seperti berikut :- i) Lari lengkung dari mula, lari landas untuk mendapat kepantasan yang optima seperti Dick Fosbury. ii) Bermula lari secara lurus kemudian melencong pada empat langkah terakhir. iii) Secara lari atas garisan lurus menuju ke palang. Lari landas melibatkan di antara 7, 9 atau 11 langkah yang laju. Untuk mendapat daya sentrifugal yang unik dalam gaya flop empat langkah terakhir hendaklah dilakukan dalam garisan satu lengkungan seperti di bawah. Tempat mula lari landas adalah 70 darjah hingga 80 darjah dari permukaan satah palang seperti digunakan oleh beberapa atlit ternama. b) Fasa Lonjakan Tujuan lonjakan adalah untuk mengubah pergerakan mendatar kepada pergerakan menegak dan untuk mengangkat pusat graviti atlit ke atas palang. Pada akhir lari landas kaki lonjakan dihentak pada bumi dengan tumit untuk mendapat daya tindakbalas yang akan mengangkat badan lagi. Kemudian kaki lonjakan diguling dari tumit ke tengah kaki ke jari kaki sambil menekan bumi. Badan di condong sedikit ke belakang sambil kedua tangan dihayun ke atas. Serentak dengan ini sejurus sahaja badan terangkat dari bumi, kaki bebas diangkat sambil dipusing ke dalam untuk mendapat daya putaran supaya badan mencapai layangan istimewa flop. Pada masa ini kepala dihalakan ke palang dan atlit mesti melihat palang. Perkara yang perlu diingati adalah semasa lonjakan dibuat pusat graviti hendaklah berada di atas kaki lonjakan. Atlit yang melonjak dengan kaki kiri melompat dari sebelah kanan palang manakala atlit yang melonjak dengan kaki kanan mula lari landasnya dan melompat dari sebelah kiri palang lompat tinggi. c) Fasa Layangan Sekiranya fasa lari landas dan fasa lonjakan adalah sempurna, atlit akan mencapai fasa layangan yang diingini. Dalam fasa layangan ini, tujuannya adalah untuk membawa pusat graviti melepaskan palang secara ekonomikal dan mudah. Putaran yang dihasilkan oleh kaki bebas dalam fasa lonjakan tadi akan membawa badannya secara belakang atlit menghadap palang.Ketika ini kaki masih belum melepasi palang dan pusat graviti masih berada di belakang dan rendah dari palang. Atlit akan mengangkat kepalanya dan ini akan mengangkat bahagian bahu.Gerakan ini akan bertindakbalas secara kakinya akan melurus sambil melintas atas palang. Kakinya hendaklah dikangkang sedikit. d) Fasa Mendarat Dalam fasa ini badan atlit setelah melepasi palang sedang jatuh dari tinggi ke bumi. Jenis daya yang dihasilkan adalah daya kinetik yang makin jatuh makin bertambah. Seseorang atlit ketika ini mesti menyediakan dirinya dengan mengadakan kedua lutut jauh dan dagunya rapat pada dada. Mulutnya mesti ditutup supaya tidak tergigit lidah. Untuk mengurangkan hentakan maka atlit mesti cuba mendarat pada bahunya. Sekiranya tenaga kinetik terlampau, ia dikehendaki melakukan gulingan ke belakang untuk menyerap hentakan impact. GAYA FOSBURY FLOP Langkah 1 : Langkah ini bertujuan memberi peluang kepada atlit untuk menghayati rasa semasa mendarat. Ia bertujuan untuk memberi keyakinan kepada mereka untuk melakukan aktiviti-aktiviti seterusnya. Pelajar ditunjukkan dengan demonstrasi cara menjatuhkan badan di atas belakang. Perlu disediakan sebuah kotak yang lebih tinggi daripada kawasan mendarat. Ianya diletakkan di sisi kawasan tilam atau tempat pendaratan. Pelajar atau atlit diarahkan untuk berdiri di ats kotak itu dengan keadaan badan yang lurus dan tegak. Kemudian badan dijatuhkan ke belakang. Aktiviti ini diulang beberapa kali untuk keyakinan seterusnya. Untuk meneguhkan ansur maju langkah ini, pelajar diberitahu untuk menjatuhkan badan di bahagian belakang bahu. Dagu hendaklah dirapatkan pada dada. Perlu ditegaskan bahawa tangan hendaklah dihayunkan ke belakang. Untuk peneguhan, semasa aktiviti ini, ianya dapat dijayakan dengan menggunakan sebiji bola (saiz bola sepak). Perlakuannya ialah dengan memegang bola tersebut dan semasa jatuhan, bola itu dibaling ke belakang serentak dengan tangan dihayun. Ini bertujuan untuk hayunan tangan yang lebih mantap. Semasa aktiviti ini, kaki hendaklah dalam keadaan kangkang sedikit. Langkah 2 : Kotak yang lebih rendah sedikit daripada aktiviti langkah 1 digunakan. Segala perlakuan dan aktiviti adalah seperti dalam langkah 1. Pelajar dikehendaki dan diarahkan untuk membuat lonjakan sedikit. Ia bertujuan untuk mengangkat badan. Gunakan tali getah dan ini akan memberi keyakinan semasa membuat lonjakan dengan kedua belah kaki. Langkah ini perlu diulang beberapa kali untuk peneguhan dan keyakinan. Langkah 3 : Kotak dalam langkah 2 digantikan dengan bangku yang lebih rendah lagi. Pelajar dikehendaki membuat lonjakan dengan sebelah kaki iaitu kaki lonjakan. Pengasingan pelajar yang menggunakan kaki lonjakan yang berlainan perlu diasingkan di kiri dan kanan tempat melompat. Dalam keadaan berjalan, mereka dikehendaki memijak bangku tersebut dengan kaki lonjakan sambil melonjak dan menghayun kaki sebebas-bebasnya ke atas dan melompat. Perlu ditekankan bahaya tangan perlulah dihayun seperti dalam langkah 2. Setelah beberapa kali dicuba, barulah tali getah tadi digantikan dengan palang yang sebenar. Langkah 4 : Penumpuan dalam aktiviti ini ialah menitikberatkan perkara yang bersabit dengan layangan. i) Kaki yang paling dekat dengan palang hendaklah di kilas bebas untuk mendapatkan daya putaran pada badan. ii) Badan hendaklah dilengkungkan ketika berada di atas tali getah supaya mendapat gaya dan ketinggian yang baik dan sempurna. Selepas didapati aktiviti ini dapat dicapai, barulah palang digunakan untuk merasai suasana sebenar acara lompat tinggi gaya ini. Langkah 5 : Dalam langkah ini, pelajar diarahkan untuk membuat lompatan yang sebenar. Sebagai bantuan untuk aktiviti dalam langkah ini, satu garisan untuk lari landas dengan lengkungan disediakan. Palang hendaklah berada di paras yang rendah. Pada mulanya pelajar akan mencuba dengan menggunakan empat atau lima langkah larian landas. Ini cuba beberapa kali. Kemudian palang akan ditinggikan sedikit demi sedikiti sekiranya lompatan berjaya dilakukan. Selepas itu, lakuan untuk aktiviti yang sama tetapi dengan menggunakan lari landas 9 hingga 11 langkah. Pada aktiviti ini, larian hendaklah dilakukan dengan agak laju.

Saturday 15 September 2012

PENDIDIKAN FORMAL PENDIDIKAN ORANG ASLI SEKOLAH KEBANGSAAN LANAI MENJADI TEMPAT PENDIDIKAN FORMAL ORANG ASLI KG.PPANTOS, KUALA LIPIS. Sekolah kebangsaan lanai merupakan sekolah yang jauh kedudukannya di pedalaman. Murid-muridnya terdiri dari kalangan orang asli dari puak semai. Sekolah kebangsaan lanai boleh dihubungkan melalui jalan air, udara dan darat. Jalan air boleh menyusuri ke sekolah kebangsaan lanai melalui bot, sampan, dan rakit. Manakala pula, jalan udara menggunakan helikopter dan jalan udara boleh dilalui oleh kenderaan bermotor dan pacuan empat roda. SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN LANAI Sebelum ini Pos Lanai lebih di kenali dengan nama Pos Dicson. Dicson diambil sempena nama seorang pegawai tentera British yang di tugaskan dikawasan berkenaan. Namun demikian nama Pos Dicson akhirnya ditukarkan kepada nama Pos Lanai. Pada zaman penjajahan tentera Jepun Pos Lanai merupakan kubu bagi askar Tanah Melayu. Kubu askar Melayu terletak di Pos Lanai manakala tentera Jepun berada di seberang Pos Lanai iaitu di Kampung Perangkap. Semua penduduknya dan masyarakat setempat terdiri daripada orang asli dari suku kaum Semai. Sekolah ini telah dibina pada tahun 1970-an. Pada masa itu sekolah ini diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Pada masa itu sekolah ini hanya mempunyai sebuah blok bangunan sekolah sahaja. Blok bangunan ini telah dibina dengan kerjasama penduduk kampung. Bangunan ini hanya berdindingkan buluh dan beratapkan rumbia. Tenaga pengajar di sekolah ini hanya menggunakan tenaga pengajar dari kakitangan JHEOA sahaja. Seorang kakitangan JHEOA ditempatkan di sekolah ini dan tenaga pengajar ini akan bertukar-tukar dari semasa ke semasa.
Sekolah kebangsaan lanai yang pertama ditubuhkan Sumber : http://sklanai.blogspot.com/ Pada ketika itu masyarakat ini telah ketinggalan jauh jika di bandingkan dengan masyarakat yang berada di luar sana. Namun begitu dengan kesedaran yang ada pada diri mereka untuk tidak terus ketinggalan jauh, mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah untuk menambah ilmu pengetahuan dan mengurangkan jurang perbezaan diantara mereka dan masyarakat luar. Setelah hampir 25 tahun sekolah ini dikendalikan oleh JHEOA, pada Disember 1995 Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengambil alih operasi sekolah ini. Dengan pengambilalihan operasi sekolah daripada JHEOA, banyak perubahan telah dilakukan untuk meningkatkan taraf pendidikan dikalangan 4 masyarakat orang asli ini. Pada tahun tersebut sekolah ini telah di tambah satu lagi blok banguan untuk kemudahan dan keselesaan pengajaran dan pembelajaran. Bangunan yang lama telah dibaik pulih.
Pada Mei 2003 Sekolah Kebangsaan Lanai telah berpindah ke lokasi baru. Sekolah ini terletak di Kampung Pantos kira-kira 2 jam perjalanan ke lokasi asal di Kampung Lanai. Sekolah sekarang boleh dihubungi dengan menggunakan jalan air dan darat. Tetapi jalan darat hanya boleh dimasuki dengan menggunakan pacuan empat roda sahaja. Pada masa itu sekolah ini mempunyai 14 orang guru dan 8 orang staf sokongan. Pada permulaan operasi, sekolah ini hanya menyediakan sesi persekolahan untuk pelajar tahun 1 sehingga tahun 3 sahaja. Manakala mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ke tahun enam dan seterusnya akan di tempatkan di sekolah-sekolah di Bandar Kuala Lipis. Namur sejak tahun 2004 sekolah telah menyediakan sesi persekolahan untuk tahun 1 sehingga tahun 6. Sekolah pada ketika ini menggunakan bekalan elektrik daripada kuasa solar yang di sediakan oleh kementerian manakala bekalan air hanya di perolehi daripada sungai. Bagi penempatan guru-guru, mereka tinggal di bangunan sekolah sahaja. Pada tahun 1997 kerajaan negeri telah membekalkan generator untuk sekolah. Begitu juga dengan bekalan air paip. Dengan usaha sama jabatan kesihatan menyalurkan bekalan air bersih kepada penduduk kampong sekolah ini turut mendapat manfaatnya. Bekalan air ini ditakungkan di Lata Nyuk. Sekolah Kebangsaan Lanai turut membina sebuah asrama desa bagi kemudahan pelajarpelajar yang tinggal berjauhan dari sekolah. Pada Mei 2003 Sekolah Kebangsaan Lanai telah berpindah ke lokasi baru. Sekolah ini terletak di Kampung Pantos kira-kira 2 jam perjalanan ke lokasi asal di Kampung Lanai. Di lokasi baru ini suasana agak berbeza jika dibandingkan dengan sekolah yang lama. Sekolah ini mempunyai sebuah blok pentadbiran, dua blok sekolah dan dua blok asrama 2 tingkat. Sekolah ini juga mempunyai satu blok dewan makan dan satu blok surau untuk kemudahan penghuni asrama. Terdapat 4 buah rumah guru turut disediakan untuk kemudahan guru-guru yang berkhidmat di sekolah ini. Terdapat sebuah padang bola sepak. Punca bekalan elektrik adalah dari generator yang dibekalkan. Terdapat 3 buah generator yang mana dibahagikan kepada sekolah, asrama dan penyaman udara. Bekalan air pula didapati daripada takungan air bukit. Sekolah ini boleh dihubungi dengan mengunakan jalan darat mahupun menggunakan sungai. Kini, SK Lanai boleh dihubungi dengan jalan raya berturap serta telah mempunyai kemudahan yang sama dengan sekolah lain dan bilangan staf juga bertambah dengan bilangan guru seramai 15 orang, manakala staf sokongan meningkat kepada 9 orang. Pada tahun 2008, kerajaan menyiapkan laluan bertar dari kuala medang ke sekolah kebangsaan lanai. Projek tersebut dijangkakan siap sepenuhnya menjelang tahun 2010. Sumber bekalan air bersih diambil dari punca air bukit, manakala bekalan elektrik dijana oleh generator diesel dan panel solar. Pada tahun 2012, hampir kesemua penduduk kampung yang dahulunya tinggal jauh di kawasan pedalaman kini telah di pindahkan ke penempatan baru yang lengkap dengan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik serta terletak berhampiran dengan sekolah. Dengan ini secara tidak langsung juga telah memberi manfaat kepada sekolah apabila sekolah juga telah mendapat bekalan elektrik yang berterusan selama 24 jam. Dengan adanya kemudahan elektrik ini, seluruh warga sekolah kebangsaan lanai dapat bekerja dalam keadaan yang lebih baik dan produktif. Enrolmen tenaga penggerak bagi sekolah kebangsaan lanai adalah terdiri daripada 15 orang guru dan dibantu oleh Sembilan orang kakitangan sokongan. Sejajar denagn misi dan visi sekolah, diharapkan pada masa hadapan agar sekolah kebangsaan lanai boleh menjadi pemangkin kepada perubahan status sosial masyarakat orang asli di sini khususnya dan Negara amnya standing dengan masyarakat luar selaras dengan pelan induk pembangunan pendidikan Negara kita. Namun semua warga SK. Lanai amat yakin dengan visi dan misi kecemerlangan sekolah ini iaitu :
VISI Sekolah kebangsaa lanai akan mencapai kecemerlangan dalam ranking pencapaian akademik antara enam sekolah pribumi di lipis, menjelang tahun 2015. MISI Untuk mewujudkan kelas yang konduksif dan gembira, mengembangkan keseluruhan potensi murid, menghasilkan murid yang bersemangat dan bijak yang akan mempraktikan gaya hidup sihat, mewujudkan persekitaran harmoni bagi mengimbangkan fizikal, emosi, rohani dan intelek. MOTO Berilmu dan berjasa. PERBEZAAN JURANG PENDIDIKAN DI SEKOLAH PEDALAMAN DAN LUAR DIRAPATKAN DENGAN MENYEDIAKAN KEMUDAHAN YANG MENCUKUPI. Pada tahun 2000, buat pertama kalinya murid tahun enam mula menduduki UPSR. Namun begitu keputusannya agak mengecewakan. Tiada pelajar yang lulus semua matapelajaran. Malah tiada pelajar yang lulus walaupun satu matapelajaran. Begitu juga pada tahun 2001 sehingga tahun 2003 masih tiada pelajar yang lulus kesemua matapelajaran. Namun begitu terdapat peningkatan dalam peratusan kelulusan matapelajaran dari tahun ke tahun. Ini menaikkan semangat para guru untuk terus berusaha untuk kecemerlangan murid-murid seterusnya menaikkan nama sekolah. Usaha gigih dan tidak jemu guru-guru akhirnya berbalas apabila dua orang calon UPSR 2003 telah lulus semua matapelajaran. Walaupun keputusannya tidak membanggakan namun ia sebagai penyuntik semangat kepada semua untuk terus berusaha tanpa rasa jemu. Pencapaian murid dalam peperiksaan dan ujian bulanan yang dibuat menunjukkan peningkatan dari masa ke semasa. Walaupun peningkatannya sedikit, namun jika diberi bimbingan yang bersungguh-sungguh murid-murid ini pasti berjaya mengukir sejarah mereka sendiri. Pelbagai program yang dirancang dan dilaksanakan oleh pihak sekolah untuk meningkatkan prestasi akademik mereka. Antaranya panitia matapelajaran memainkan peranan mengadakan Program Mari Membaca, Bijak Sifir, One Book A Month, Kuiz Matapelajaran, Kem Motivasi dan banyak lagi. Semuanya adalah untuk meningkatkan pencapaian akademik dan sahsiah murid-murid agar mereka tidak terus ketinggalan arus kemajuan. KO-KURIKULUM Ko-kurikulum dan akademik bergerak seiringan. Murid Sekolah Kebangsaan Lanai tidak ketinggalan menyertai setiap kejohanan sukan yang dianjurkan sama ada di peringkat sekolah,zon dan daerah. Pada tahun 2003 sekolah ini telah menempa nama dalam acara sepak takraw apabila menjadi Johan di peringkat zon dan seterus melayakkan diri bagi mewakili zon Padang Tengku. Seterusnya dua orang pemain daripada pasukan sepak takraw ini terpilih untuk mewakili daerah Lipis untuk perlawanan peringkat negeri. Pasukan Lipis telah mendapat naib johan dan johan bagi kumpulan. Selain itu sekolah ini turut menyertai pertandingan bola sepak, bola jaring dan bola baling yang dianjurkan di peringkat zon. Namun demikian nasib tidak menyebelahi kerana mungkin faktor fizikal tubuh badan murid sekolah ini agak kecil berbanding dengan murid sekolah lain. Tidak ketinggalan juga acara olahraga yang mana layak mewakili zon Jelai ke peringkat daerah dalam acara lompat jauh selama dua tahun berturut-turut (2007,2008). Sekolah kebangsaan lanai mendapat tempat kedua iaitu naib juara festival nasyid sekolah-sekolah kementerian pelajaran peringkat daerah lipis yang diadakan pada 8 mei 2012 di sekolah menengah kebangsaan Clifford, kuala lipis. Tahniah diucapkan kepada mereka. Mereka mempunyai bakat yang sangat besar apabila diasah oleh pendidik yang bagus dan bersikap tidak putus asa.
perayaan tahun baru cina
Perayaan Tahun Baru Cina atau lebih dikenali dengan Gong Xi Fa Chai adalah perayaan yang paling istimewa bagi masyarakat Cina di seluruh dunia, khususnya di Malaysia. Perayaan ini disambut pada hari dan bulan pertama mengikut Calendar Lunar Cina yang berasaskan gabungan putaran matahari dan bulan. Ini bererti, tarikh sambutan Tahun Baru Cina tidak tetap , iaitu pada sekitar lewat bulan Januari dan pertengahan bulan Februari. Masyarakat Cina menyambutnya secara besar-besaran selama lima belas hari. Sebelum Dinasti Qin, tarikh perayaan permulaan sesuatu tahun adalah tidak jelas. Ada kemungkinan bahawa awal tahun bermula dengan bulan 1 ketika Dinasti Xia, bulan 12 ketika Dinasti Shang, dan bulan 11 ketika Dinasti Zhou di China. Namun, adalah diketahui bahawa “bulan lompat” yang dipakai untuk memastikan Kalendar Qamari selari dengan matahari, sentiasa ditambah selepas bulan 12 ketika Dinasti Shang (menurut catatan tulang orakel yang masih wujud) dan Zhou (menurut Sima Qian). Maharaja pertama China Qin Shi Huang menukar dan menetapkan awal tahun pada bulan 10 pada 221 SM. Sama ada tahun baru diraikan pada awal bulan 10 atau bulan 1, atau kedua-duanya, itu tidak diketahui. Pada 104 SM, Maharaja Wu yang memerintah sewaktu Dinasti Han menetapkan bulan 1 sebagai awal tahun, yang masih kekal sampai sekarang. Menurut pandangan orang China, Tahun Baru Cina merupakan perayaan untuk menyambut musim bunga. Musim bunga datang, pemandangan berubah, dan penanaman padi dimulakan, orang China dengan pelbagai cara yang bahagia untuk merayakan perayaan tradisional yang paling meriah dalam sepanjang tahun. Di China, bukan sahaja etnik Han yang merayakan Tahun Baru Cina, etnik yang lain, termasuk etnik Manzu, Mongol, Yaozu, Zhuangzu, Baizu, Gaoshan, Hezhe, Hani Daur, Dongzu, Lizu dan lain-lainnya juga mempunyai adat resam untuk merayakan Tahun Baru Cina. Tahun Baru Cina telah mempunyai sejarah yang lama, itu berasal daripada kegiatan memuja dewa dan nenek moyang sempena hujung tahun dan permulaan tahun baru di China pada zaman kuno. Tahun Cina dipanggil “Yuanri”, “Yuandan” atau “Tahun Baru” pada zaman kuno. Selepas revolusi 1911, kerajaan pada waktu itu secara rasmi menetapkan hari pertama bulan satu Imlek sebagai Tahun Baru Cina. Tahun Baru Cina diraikan dengan jamuan Yee Sang dan Kuih Bakul. Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti Daging Itik, Daging Salai, Sosej, Kuih Pulut, dan Limau Mandarin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan Tarian Naga atau Singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Hari kelima belas dikenali sebagai Pesta Tanglung atau Chap Goh Meh yang akan disambut biasanya dengan permainan tanglung oleh kanak-kanak. Tahun Baru Cina disambut di negara-negara dan wilayah-wilayah yang diduduki oleh ramai orang Cina, seperti Tanah Besar China, Hong Kong, Indonesia, Macau, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand, dan juga di Pekan Cina di merata dunia. Tahun Baru Cina juga disetempatkan bangsa-bangsa yang kuat dipengaruhi dengan budaya Cina (termasuk memakai takwim qamari Cina), termasuk Korea (Seollal), Tibet dan Bhutan (Losar), Mongolia (Tsagaan Sar), (Vietnam (Tết), dan Jepun hingga tahun 1873 (Oshogatsu). Tahun Baru Cina melambangkan titik permulaan dalam menentukan nasib dan kehidupan seseorang individu. Justeru, Kaum Cina menganggap bahawa usia mereka bertambah setahun lagi pada hari itu. Perayaan Tahun Baru Cina dikenali juga sebagai Festival Musim Bunga (Spring Festival) dan dirayakan selama lima belas hari sehinggalah hari terakhir, iaitu Chap Goh Meh. Apabila berjumpa dengan rakan-rakan dan saudara mara juga perlu mengucapkan pepatah yang membawa maksud baik misalnya “Gong Xi Fa Chai” yang membawa maksud - ‘Tahniah, anda sudah kaya’ , panjang umur, sihat selalu dan apa saja ungkapan yang membawa maksud yang baik. Ucapan pada tahun baru cina Antara perkara lain yang amat titik beratkan termasuk perlu menjaga percakapan dan berkelakuan baik. Sudah pasti perkataan tidak elok seperti ‘mati’ dielakkan sama sekali. Andai berasa sedih sekali pun, perasaan itu harus dikawal bagi mengelak tangisan, khususnya pada hari pertama Tahun Baru Cina. Alasannya - menggamit tuah. SEJARAH TAHUN BARU CINA Pada zaman dahulu, orang Cina hidup secara sedeerhana. Pakaian mereka dibuat daripada kulit-kulit binatang sahaja. Mereka memakan makanan yang mudah didapati. Mereka bebas dan merasa sangat berpuas hati, kemudian mereka menetap pula di suatu dataran di Lembah Sungai Kuning yang kaya dengan hasil tanaman. Lalu mereka membuka sebuah kampung dan membentuk sebuah masyarakat. Mereka hidup dalam keadaan aman damai. Puisi tahun baru cina tulisan tangan ditampal pada pintu ke rumah orang, di lijiang, Yunnan, china. Mengikut lagenda masyarakat Cina, terdapat seekor raksasa yang menyerang orang-orang kampung pada malam terakhir setiap tahun. Raksasa itu digelar sebagai Nian (tahun) (年). Ia bukan sahaja memusnahkan harta benda malah juga mengancam nyawa penduduk kampung. Pada suatu malam “Nian” pergi ke sebuah kampung untuk menyerang manusia,pada waktu yang sama terdapat dua orang kanak-kanak sedang bermain Cambuk dan mengeluarkan bunyi yang menakjubkan. Setelah Nian terdengar bunyi tersebut, ia sangat terkejut dan melarikan diri. Selepas itu, Nian pergi ke sebuah kampung yang lain, Nian melihat sehelai baju merah yang tergantung di depan pintu sebuah rumah. Nian merasa pelik dan melarikan diri. Seterusnya, Nian pergi ke sebuah kampung lagi dan melihat sebuah rumah yang diterangi cahaya yang sangat terang. Kemudian Nian terus melarikan diri. Penduduk kampung mendapati bahawa raksasa itu hanya takut kepada bunyi bising, cahaya dan warna merah. Justeru mereka pun berkumpul dan bersiap sedia dengan alat-alat senjata. Rumah-rumah mereka dipasang pelita terang dan semua barang telah diwarnakan merah. Mereka juga sengaja mengeluarkan bunyi riuh-rendah dengan memukul gendang dan membakar mercun di sepanjang malam. Didapati Nian tidak muncul lagi apabila Tarian Singa dimainkan dengan diiringi pukulan gendang dan gong yang kuat. Apabila fajar menyinsing, penduduk kampung saling bersalaman dan mengucapkan tahniah kerana masing-masing terselamat daripada ancaman Nian. Mereka turut menyembah dewa-dewa serta roh nenek moyang sebagai tanda kesyukuran kerana melindungi mereka daripada serangan Nian. Sejak dari itulah mereka menyambut Tahun Baru Cina secara besar-besaran. Guò Nián (Cina Tradisional: 過年, Cina Ringkas: 过年), yang bermaksud "menyambut tahun baru", membawa erti harfiah "meredah raksasa Nian".