Background

Sunday 16 September 2012

LOMPAT TINGGI PENGENALAN
Acara Lompat Tinggi adalah salah satu daripada acara olahraga yang diminati dan sentiasa mendapat perhatian ramai. Lompat Tinggi mula diperkenalkan dalam tahun 1887 dan dalam tahun 1896 acara Lompat Tinggi telah diperkenalkan dalam sukan Olimpik. Acara ini menjadi perhatian ramai kerana pelbagai gaya lompatan digunakan oleh para atlit. Dalam acara Lompat Tinggi, seseorang atlit memerlukan kebolehan semula jadi, bagi melaksanakan satu lompatan yang baik hendaklah bergantung kepada diri atlit itu sendiri iaitu dari persediaan fizikal dan mental. Terdapat beberapa gaya dalam acara Lompat Tinggi seperti berikut :- i) Gaya Gunting (Scissors) ii) Gaya Eastern Cut-off iii) Gaya Guling Barat (Western Roll) iv) Gaya Guling Pelana (Straddle) v) Gaya Fosbury Flop Dalam gaya-gaya di atas, gaya guling (straddle) dan gaya fosbury flop telah diperkenalkan bagi mendapatkan lompatan yang tinggi. UKURAN i) Tiang lompat tinggi Tiang lompat tinggi ini hendaklah dijarakkan pada jarak minimum 4 meter atau maksimum 4.04 meter dari bahagian dalam. ii) Palang lompat tinggi Panjang palang lompat tinggi ini hendaklah sesuai dengan jarak kedua-dua tiang yang dipasangkan. Berat maksimum palang ini ialah dua kilogram. Palang ini diletakkan pada tiang menerusi alat sokongan khas. Alat sokongan ini hendaklah berbentuk segiempat rata dan berukuran 4 cm lebar dan 6 cm panjang. iii) Kawasan mendarat Kawasan mendarat dalam acara lompat tinggi ini adalah tilam atau pengalas lembut bergetah dan berbentuk segiempat dengan bersaiz 5 meter panjang, 4 meter lebar dan 1 meter tebal. iv) Pita pengukur Pita pengukur digunakan untuk mengukur ketinggian lompatan yang dilakukan oleh peserta. Pengukuran ketinggian hendaklah dibuat sebelum acara lompatan. Pegawai pertandingan terlebih dahulu akan memulakan acara ini pada suatu ketinggian tertentu mengikut keupayaan para peserta dan ketinggian lompatan akan diukur daripada bahagian tengah palang ke aras tanah. PRINSIP-PRINSIP BIOMEKANIK DALAM ACARA LOMPAT TINGGI Secara amnya terdapat beberapa aspek prinsip mekanik dalam acara-acara sukan termasuk olahraga. Prinsip-prinsip mekanik yang terlibat dalam acara lompat tinggi ini dibincang dengan ringkas :- a) Pergerakan Terdapat dua jenis pergerakan iaitu :- i) Pergerakan Mendatar (Linear Motion) ii) Pergerakan Menegak (Vertical Motion) Dengan ringkas, seseorang atlit perlu meminda pergerakan mendatar kepada pergerakan menegak. A – Pergerakan Mendatar B – Pergerakan Menegak C – Vektor Resultant 1) Lari landas menghasilkan pergerakan mendatar A. 2) Lonjakan dari lari landas di point X menghasilkan pergerakan menegak B. 3) Hasil gabungan pergerakan mendatar dan pergerakan menegak mengakibatkan layangan dalam bentuk parabola C. b) Momentum Halaju dan momentun adalah konsep-konsep penting dalam kemahiran sukan. Momentum adalah hasil darab jisim dan halaju iaitu kuantiti pergerakan yang dikandung oleh sesuatu jasad. Lebih meningkat halaju atau lebih berat jisim, maka momentum jasad itu akan bertambah. Ia juga boleh dipindahkan dari sebahagian badan ke seluruh badan misalnya hayunan atau kilasan kaki bebas dengan kuat pada fasa lonjakan dalam lompat tinggi supaya dapat menghasilkan momentun yang lebih untuk membawa badan pada takat yang lebih tinggi. Pergerakan lengan dan bahu juga menolong melonjakkan badan ke atas. c) Daya Sentrifugal  Daya Sentrifugal  Daya Sentripetal  Daya Ikut Tangan Selain daripada pergerakan mendatar dan menegak terdapat juga daya sentrifugal. Apabila sesuatu jasad melakukan pergerakan dalam bentuk suatu bulatan, pada hakikatnya terdapat satu jenis daya yang bertindak ke arah pusat bulatan itu dan satu lagi daya yang sama wujud dalam arah yang bertentangan. Daya yang bertindak ke luar dikenali sebagai Daya Sentripetal. Kedua-dua daya ini dilaksanakan hanya apabila ada geseran pada bumi di pusat bulatan. Sekiranya terdapat suatu daya sentrifugal sedang bertindak kepada pusat bulatan dan tidak terdapat geseran pada pusat itu, maka daya ini akan dilepaskan pada titik bulatan yang tertentu dan memecut dalam bentuk tangen pada pusat bulatan itu. Untuk mencapai lonjakan yang tinggi, seseorang atlit itu haruslah menggabungkan konsep-konsep pergerakan dengan daya sentrifugal . d) Putaran Pergerakan-pergerakan putaran bertujuan mendapat layangan merentasi palang adalah dua jenis iaitu ‘direct’ dan ‘inderect’. Putaran ‘direct’ dicapai semasa atlit ada kontrak dengan bumi manakala putaran ‘indirect’ semasa atlit tidak mempunyai kontrak dengan bumi. Putaran ‘indirect’ dicapai dengan membawa masuk dengan kuat kaki bebas setelah lonjakan untuk menambah lagi daya sentrifugal. e) Graviti dan Pusat Graviti Satu daripada prinsip yang sangat penting adalah daya graviti bumi yang berkesan pada atlit dan bagaimana atlit itu boleh memindahkan pusat graviti pada badannya supaya memperolehi lompatan yang paling berjaya. Ketinggian yang boleh dicapai dengan jumlah daya yang sama sekiranya pusat graviti ditempatkan rapat kepada bahagian atas palang. Walau bagaimanapun gaya-gaya yang membolehkan penempatan pusat graviti seperti ini juga melibatkan atlit-atlit mendarat dalam posisi yang mencemaskan. Jasad-jasad A dan B yang kedudukannya menegak didapati pusat graviti masing-masing agak jauh di atas palang. Manakala dalam jasad C, terdapat kedudukannya yang leper membolehkan pusat gravity adalah sangat hampir pada palang. FASA – FASA DALAM LOMPATAN TINGGI (GAYA FOSBURY FLOP) Dalam acara Lompat Tinggi (gaya fosbury flop) seseorang atlit akan melalui empat fasa iaitu :- a) Fasa Lari Landas b) Fasa Lonjakan c) Fasa Layangan d) Fasa Mendarat a) Fasa Lari Landas Terdapat dua faktor yang mempengaruhi lari landas yang akan membawa seseorang atlit lompat tinggi pada satu tahap yang paling sesuai untuk melakukan fasa lonjakan seterusnya. Faktor-faktor itu adalah :- i) Kelajuan :- Atlit dikehendaki berlari secepat mungkin tetapi dengan halaju yang terkawal. Ia akan mengambil masa yang lebih lama untuk melintasi palang kerana tinggi palang. ii) Arah :- Atlit hendaklah menuju ke arah palang pada sudut 20 darjah hingga 30 darjah dari satah tegak palang. Dalam gaya flop ini di bahagian akhir lari landas atlit perlu mengubah arahnya pada satu lengkongan. Ini dilakukan untuk mendapat daya sentrifugal yang sangat penting bagi gaya flop. Terdapat tiga gaya lari landas yang sering digunakan dalam gaya flop seperti berikut :- i) Lari lengkung dari mula, lari landas untuk mendapat kepantasan yang optima seperti Dick Fosbury. ii) Bermula lari secara lurus kemudian melencong pada empat langkah terakhir. iii) Secara lari atas garisan lurus menuju ke palang. Lari landas melibatkan di antara 7, 9 atau 11 langkah yang laju. Untuk mendapat daya sentrifugal yang unik dalam gaya flop empat langkah terakhir hendaklah dilakukan dalam garisan satu lengkungan seperti di bawah. Tempat mula lari landas adalah 70 darjah hingga 80 darjah dari permukaan satah palang seperti digunakan oleh beberapa atlit ternama. b) Fasa Lonjakan Tujuan lonjakan adalah untuk mengubah pergerakan mendatar kepada pergerakan menegak dan untuk mengangkat pusat graviti atlit ke atas palang. Pada akhir lari landas kaki lonjakan dihentak pada bumi dengan tumit untuk mendapat daya tindakbalas yang akan mengangkat badan lagi. Kemudian kaki lonjakan diguling dari tumit ke tengah kaki ke jari kaki sambil menekan bumi. Badan di condong sedikit ke belakang sambil kedua tangan dihayun ke atas. Serentak dengan ini sejurus sahaja badan terangkat dari bumi, kaki bebas diangkat sambil dipusing ke dalam untuk mendapat daya putaran supaya badan mencapai layangan istimewa flop. Pada masa ini kepala dihalakan ke palang dan atlit mesti melihat palang. Perkara yang perlu diingati adalah semasa lonjakan dibuat pusat graviti hendaklah berada di atas kaki lonjakan. Atlit yang melonjak dengan kaki kiri melompat dari sebelah kanan palang manakala atlit yang melonjak dengan kaki kanan mula lari landasnya dan melompat dari sebelah kiri palang lompat tinggi. c) Fasa Layangan Sekiranya fasa lari landas dan fasa lonjakan adalah sempurna, atlit akan mencapai fasa layangan yang diingini. Dalam fasa layangan ini, tujuannya adalah untuk membawa pusat graviti melepaskan palang secara ekonomikal dan mudah. Putaran yang dihasilkan oleh kaki bebas dalam fasa lonjakan tadi akan membawa badannya secara belakang atlit menghadap palang.Ketika ini kaki masih belum melepasi palang dan pusat graviti masih berada di belakang dan rendah dari palang. Atlit akan mengangkat kepalanya dan ini akan mengangkat bahagian bahu.Gerakan ini akan bertindakbalas secara kakinya akan melurus sambil melintas atas palang. Kakinya hendaklah dikangkang sedikit. d) Fasa Mendarat Dalam fasa ini badan atlit setelah melepasi palang sedang jatuh dari tinggi ke bumi. Jenis daya yang dihasilkan adalah daya kinetik yang makin jatuh makin bertambah. Seseorang atlit ketika ini mesti menyediakan dirinya dengan mengadakan kedua lutut jauh dan dagunya rapat pada dada. Mulutnya mesti ditutup supaya tidak tergigit lidah. Untuk mengurangkan hentakan maka atlit mesti cuba mendarat pada bahunya. Sekiranya tenaga kinetik terlampau, ia dikehendaki melakukan gulingan ke belakang untuk menyerap hentakan impact. GAYA FOSBURY FLOP Langkah 1 : Langkah ini bertujuan memberi peluang kepada atlit untuk menghayati rasa semasa mendarat. Ia bertujuan untuk memberi keyakinan kepada mereka untuk melakukan aktiviti-aktiviti seterusnya. Pelajar ditunjukkan dengan demonstrasi cara menjatuhkan badan di atas belakang. Perlu disediakan sebuah kotak yang lebih tinggi daripada kawasan mendarat. Ianya diletakkan di sisi kawasan tilam atau tempat pendaratan. Pelajar atau atlit diarahkan untuk berdiri di ats kotak itu dengan keadaan badan yang lurus dan tegak. Kemudian badan dijatuhkan ke belakang. Aktiviti ini diulang beberapa kali untuk keyakinan seterusnya. Untuk meneguhkan ansur maju langkah ini, pelajar diberitahu untuk menjatuhkan badan di bahagian belakang bahu. Dagu hendaklah dirapatkan pada dada. Perlu ditegaskan bahawa tangan hendaklah dihayunkan ke belakang. Untuk peneguhan, semasa aktiviti ini, ianya dapat dijayakan dengan menggunakan sebiji bola (saiz bola sepak). Perlakuannya ialah dengan memegang bola tersebut dan semasa jatuhan, bola itu dibaling ke belakang serentak dengan tangan dihayun. Ini bertujuan untuk hayunan tangan yang lebih mantap. Semasa aktiviti ini, kaki hendaklah dalam keadaan kangkang sedikit. Langkah 2 : Kotak yang lebih rendah sedikit daripada aktiviti langkah 1 digunakan. Segala perlakuan dan aktiviti adalah seperti dalam langkah 1. Pelajar dikehendaki dan diarahkan untuk membuat lonjakan sedikit. Ia bertujuan untuk mengangkat badan. Gunakan tali getah dan ini akan memberi keyakinan semasa membuat lonjakan dengan kedua belah kaki. Langkah ini perlu diulang beberapa kali untuk peneguhan dan keyakinan. Langkah 3 : Kotak dalam langkah 2 digantikan dengan bangku yang lebih rendah lagi. Pelajar dikehendaki membuat lonjakan dengan sebelah kaki iaitu kaki lonjakan. Pengasingan pelajar yang menggunakan kaki lonjakan yang berlainan perlu diasingkan di kiri dan kanan tempat melompat. Dalam keadaan berjalan, mereka dikehendaki memijak bangku tersebut dengan kaki lonjakan sambil melonjak dan menghayun kaki sebebas-bebasnya ke atas dan melompat. Perlu ditekankan bahaya tangan perlulah dihayun seperti dalam langkah 2. Setelah beberapa kali dicuba, barulah tali getah tadi digantikan dengan palang yang sebenar. Langkah 4 : Penumpuan dalam aktiviti ini ialah menitikberatkan perkara yang bersabit dengan layangan. i) Kaki yang paling dekat dengan palang hendaklah di kilas bebas untuk mendapatkan daya putaran pada badan. ii) Badan hendaklah dilengkungkan ketika berada di atas tali getah supaya mendapat gaya dan ketinggian yang baik dan sempurna. Selepas didapati aktiviti ini dapat dicapai, barulah palang digunakan untuk merasai suasana sebenar acara lompat tinggi gaya ini. Langkah 5 : Dalam langkah ini, pelajar diarahkan untuk membuat lompatan yang sebenar. Sebagai bantuan untuk aktiviti dalam langkah ini, satu garisan untuk lari landas dengan lengkungan disediakan. Palang hendaklah berada di paras yang rendah. Pada mulanya pelajar akan mencuba dengan menggunakan empat atau lima langkah larian landas. Ini cuba beberapa kali. Kemudian palang akan ditinggikan sedikit demi sedikiti sekiranya lompatan berjaya dilakukan. Selepas itu, lakuan untuk aktiviti yang sama tetapi dengan menggunakan lari landas 9 hingga 11 langkah. Pada aktiviti ini, larian hendaklah dilakukan dengan agak laju.

No comments:

Post a Comment